Tuesday 18 March 2014

TAJUK 5

FRASA KERJA BAHASA MELAYU



 Binaan Frasa Kerja
 Binaan Frasa Kerja Tanpa Objek
 Binaan Frasa Kerja Dengan Objek


Frasa kerja juga menjadi salah satu tonggak dalam binaan sintaksis. Frasa kerja binaan sintaksis pula didasari oleh pola-pola ayat yang mengandungi pola-pola frasa yang menjadi tunjang dalam ayat sama ada sebagai subjek atau predikat. Malah, ayat dan klausa mengandungi dua konstituen utama, iaitu frasa subjek dan frasa predikat. Sehubungan itu, frasa subjek dibentuk oleh frasa nama, manakala frasa predikat dibentuk oleh empat jenis frasa, iaitu frasa nama (FN), frasa kerja (FK), frasa adjektif (FA) dan frasa sendi nama (FS).



Konsep Frasa Kerja Bahasa Melayu

Frasa Kerja menurut Siti Hajar Abdul Aziz. (2008) ialah frasa yang terdiri daripada kata kerja sebagai unsur intinya. Frasa kerja bertugas sebagai predikat dalam susunan ayat biasa.

Menurut Abdullah Hassan et.al (2006), frasa kerja terdiri daripada satu atau beberapa perkataan dengan kata kerja berfungsi sebagai fungsinya. Frasa kerja wujud dalam sesuatu ayat dalam binaan predikat.



Binaan Frasa Kerja

Binaan kata kerja terdiri daripada kata kerja tak transitif atau kata kerja transitif.
Kata kerja tak transitif ialah kata kerja yang tidak memerlukan objek sebagai penyambut.
 Kata kerja tak transitif juga dikatakan sebagai kata kerja yang tidak memerlukan frasa nama sebagai objek (penyambut) untuk melengkapkannya.



Frasa Kerja Tanpa Objek

Frasa kerja tanpa objek merupakan jenis frasa yang tidak memerlukan penyambut (objek) dan boleh berdiri sendiri dalam sesuatu binaan predikat.

Contoh :
Faisal tidur lena.
Budak nakal itu terjatuh lagi.
Dia selalu bergaduh.

(Kata kerja tersebut tidak memerlukan atau tidak tidak diikuti oleh frasa nama sebagai objek atau penyambut. Namun kata kerja ini boleh diikuti oleh unsur pelengkap dan penerang.)

Contoh:
Faisal tidur lena di bilik tidur.
Budak nakal itu terjatuh lagi setelah terpijak kulit pisang.
Dia selalu bergaduh sesama rakan sekolah.

Pelengkap ialah perkataan yang hadir selepas kata kerja transitif dan berfungsi untuk melengkapkan kata kerja tersebut.



Frasa Kerja Dengan Objek

Frasa kerja dengan objek dikenali juga sebagai frasa kerja transitif. Frasa kerja transitif mempunyai dasar kata kerja transitif. Kata kerja transitif pula ialah kata kerja yang memerlukan objek, Kata kerja jenis ini mesti diikuti oleh frasa nama sebagai objek atau penyambut untuk melengkapkan kata kerja tersebut.

Contoh:

Kata Kerja Transitif                                                 Penyambut

menaikkan                                                             bendera
membaiki                                                               radio

Contoh ayat lengkap:
Pelajar itu menaikkan bendera semasa perhimpunan
Mahmud membaiki radio yang telah rosak.


Frasa kerja juga boleh menerima unsur keterangan. Unsur keterangan juga boleh terdiri daripada frasa nama, frasa kerja, frasa adjektif dan frasa sendi nama.

TAJUK 4

SUSUNAN KONSTITUEN FRASA NAMA BAHASA MELAYU



Konstituen Frasa Nama dalam tatabahasa Bahasa Melayu mengandungi aspek-aspek yang telah disusun secara sistematik berdasarkan rumus-rumus tatabahasa bahasa Melayu :

 Peraturan D-M (Hukum D-M)
 Kekecualian Hukum D-M
 Bilangan dan panggilan


Peraturan D – M (Hukum D - M)

Dalam tatabahasa bahasa Melayu, D-M membawa maksud diterangkan (D) dan menerangkan (M). Dalam peraturan ini, unsur yang diterangkan merupakan unsur inti yang hadir pada kedudukan pertama dan unsur menerangkan merupakan unsur penerang yang hadir pada kedudukan yang kedua.

contoh :

D-    Askar melayu    -M
       Budak sekolah
       Pemain bola

Contoh-contoh lain:

- Kedai Makanan Rahim ( bukan Rahim Kedai Makan / Kedai Makan Rahim)
- pisang goreng (bukan goreng pisang)
- kentang goreng ( bukan goreng kentang)
- cakera padat (bukan padat cakera/compact disc)
- sup kambing ( bukan kambing sup)
- nasi goreng (bukan goreng nasi)
- sos cili (bukan cili sos)
- Restoran Ali ( bukan Ali Restoran)


Kekecualian Hukum D - M

Konsep kekecualian wujud dalam kebanyakan bahasa di dunia bagai merasionalkan penggunaan sistem bahasa yang sudah lazim dipakai secara mantap dalam masyarakat pengguna bahasa. Hal yang demikian berlaku disebabkan oleh kecenderungan pengguna bahasa menggunakan sistem bahasa lain bagi bahasa sendiri , seperti sesetengan penguna bahasa Melayu yang gemar menggunakan sistem bahasa Inggeris sebagai kayu ukur berbahasa. Lama-kelamaan, keadan itu menjadi perkara lazim dan terhasillah satu fenomena bahasa yang menyimpang dari rumus tatabahasa dalam konteks hukum D - M.
Selain itu, kekecualian hukum D - M juga wujud akibat kebiasaan dalam penggunaan, terutama sekali yang melibatkan pada nama-nama jawatan. Kebiasaan ini mewujudkan kelaziman yang semakin diterima penggunaannya dalam masyarakat pengguna bahasa.

Contoh:
Penerang (M)                                     Diterangkan (D)
Perdana                                              Menteri
Ibu                                                      Pejabat
Naib                                                    Presiden


Namun, hal ini tidak berlaku pada frasa menteri besar, menteri kanan, menteri pengangkutan, imam besar, dan seumpamanya.

Contoh penggunaan dalam ayat:
 -Perdana Menteri Malaysia yang pertama ialah YTM Tunku Abdul Rahman.
-Ibu pejabat Kastam daerah Johor Bahru dipindahkan ke Jalan Aman.
-Ketua Hakim Negara telah bercuti selama dua hari.
-Timbalan Perdana Menteri membuat lawatan kerja ke Syria.
-Jawatan Naib Presiden disandang oleh Dato Hj. Mohd.Ali.
-Naib presiden yang baharu telah berucap dalam majlis perasmian.
-Pembantu penyeldik sedang membuat penganalisisan data kajian.



Bilangan dan Panggilan

Kata bilangan yang berfungsi sebagai penerang dalam frasa nama boleh wujud di hadapan katan nama inti. (Abdullah Hassan, 2006) Dalam konteks ini, bilangan yang digunakan merujuk kepada unsur numerik yang menjadi penanda kepada jumlah yang difokuskan dalam frasa.

Contoh :
lima ekor kuda
segolongan kecil peneroka
kelima-lima pendekar silat
sekumpulan penyelidik
segelintir pengundi
sejumlah wang
sebilangan besar pekerja

Contoh ayat:

Lima ekor kuda telah dibeli oleh Haji Tahir.
Segolongan kecil peneroka sudah menanam pokok gaharu.
Kelima-lima pendekar silat itu menunjukkan gaya kepahlawanan.
Sekumpulan penyelidik sudah mendapat elaun khas.

Secara lebih khusus, kata bilangan boleh dibahagikan kepada enam kumpulan berdasarkan makna (Hashim Hj.Musa, 1993);

i. Kata bilangan tentu
ii.Kata bilangan tak tentu
iii.Kata bilangan himpunan
iv.Kata bilangan pisahan
v.Kata bilangan pecahan; dan
vi.Kata bilangan tingkatan


Kata Bilangan Tentu

Kata bilangan yang mendukung makna tentu yang menjurus kepada bilangan khusus terdiri daripada angka yang boleh dilambangkan dengan simbol atau huruf abjad.

Contoh:
satu = 1 empat = IV
dua = 2 sepuluh = X

Contoh ayat:
Konvokesyen ke-2 telah dilaksanakan pada hari semalam.
Sukan Asia ke-XIV telah mencatat satu sejarah kegemilangan atlet
Malaysia.
Dollah mendapat tempat ketiga dalam pertandingan nyanyian.



Kata Bilangan Tak Tentu

Kata bilangan yang merujuk kepada jumlah bilangan yang tidak khusus .

Contoh:
Segala, semua , banyak ,sedikit, beberapa, sekalian, sekelompok.

Contoh ayat:
Beberapa orang guru telah ditukarkan ke sekolah pedalaman.
Kegiatan gotong-royong itu disertai oleh semua penduduk kampung.
Segala bantuan yang diberikan oleh pihak sekolah amat dihargai.



Kata Bilangan Himpunan

Kata bilangan yang merujuk kepada jumlah bilangan yang terhimpun atau terkumpul.

Contoh:
berpuluh-puluh, berbelas-belas, beratus-ratus, beribu-ribu, kedua-dua, kelima-lima, kesemua.

Contoh ayat:
Berpuluh-puluh kenderaan tentera telah bergerak ke sempadan negara.
Kedua- dua peninju itu telah diberi penghargaan oleh pihak persatuan.
Kesemua mangsa banjir telah dipindahkan ke tempat yang selamat.



Kata Bilangan Pisahan

Kata bilangan jenis pisahan merujuk kepada unsur pemisahan dalam proses memerihalkan bilangan yang menjadi dasar pokok pernyataan. Kata jenis ini juga adalah sejumlah perkataan yang menyokong makna bilangan yang terasing.

Contoh:
masing-masing, setiap, tiap-tiap

Contoh ayat:
Masing-masing ada pendapat yang tersendiri dalam isu pembangunan
sukan.
Setiap hari dilalui oleh Pak Malau dengan hati yang tabah.
Tiap-tiap pasukan mempunyai ketua yang dilantik oleh pihak pengurusan.



Kata Bilangan Pecahan

Kata bilangan jenis pisahan merujuk kepada unsur pecahan atau pembahagian daripada jumlah keseluruhannya.

Contoh:
setengah, separuh, sepertiga, segelintir, sebahagian

Contoh ayat:
Setengah daripada kawasan ini adalah milik Tuan Haji Ali.
Sabar itu adalah separuh daripada iman.
Sebahagian daripada ahli-ahli persatuan tidak hadir.



Kata Bilangan Tingkatan

Kata bilangan tingkatan merujuk kepada sejumlah perkataan yang mendukung makna taraf tingkatan bilangan.

contoh:
pertama, kedua, ketiga , keseribu.

contoh ayat:
Gerai pertama menjadi perhatian pembeli.
Dia mampu meraih tempat kedua sahaja dalam pertandingan tersebut.
Pengunjung keseribu akan diberi hadiah cepu emas.



Panggilan / Kata Panggilan

Sementara itu, konsep panggilan ( kata panggilan) merupakan unsur frasa nama yang hadir sebelum kata nama inti ( Abdullah Hassan, 2008). Jenis-jenis kata panggilan seperti Tuan, Puan , Tunku, Tun, Haji, Datuk dan seumpamanya lazim digunakan sebelum kata nama inti. Kata panggilan merupakan satu sistem yang digunakan dalam bahasa Melayu bagi tujuan penghormatan, pengiktirafan ataupun penentuan identiti secara lebih khusus.

Contoh:
Datuk Maharaja Lela Profesor Ungku Aziz
Datuk Sagor Tunku Kamalia
Haji Abdul Rahman Limbong Syed Zain Barakbah
Tuan Adam Sharifah Mona Alsagoff
Puan Mastura Chong Tan Sri Malik Kama

Contoh ayat :
Datuk Maharaja Lela ialah seorang pejuang yang menentang Inggeris di
Perak.
Profesor Ungku Aziz merupakan seorang pencetus idea penubuhan tabung
pengurusan haji di Malaysia.
Datuk Sagor harus diingati sebagai seorang pahlawan.

TAJUK 3

FRASA NAMA BAHASA MELAYU



-Konsep Frasa Nama
-Binaan Frasa Nama bahasa Melayu


Konsep Frasa Nama

Frasa nama juga menjadi tonggak dalam binaan sintaksis. Binaan sintaksis pula didasari oleh pola-pola ayat yang mengandungi pola-pola frasa yang menjadi tunjang dalam ayat sama ada sebagai subjek atau predikat. Malah, ayat dan klausa mengandungi dua konstituen utama, iaitu frasa subjek dan frasa predikat. Sehubungan itu, frasa subjek dibentuk oleh frasa nama, manakala frasa predikat dibentuk oleh empat jenis frasa, iaitu :
frasa nama (FN)
frasa kerja (FK)
frasa adjektif (FA)
frasa sendi nama (FS).


Konsep Frasa Nama Bahasa Melayu

Frasa Nama menurut Nik Safiah Karim et.al. (2008) ialah konstituen atau unsur yang menjadi pengisi frasa nama yang terdiri daripada kata nama sebagai unsur intinya. Unsur inti boleh wujud secara sendiri atau dengan sederetan penerang yang hadir sebelum frasa nama atau sesudahnya, atau sebelum dan sesudah frasa nama.

Frasa nama ialah frasa yang boleh berdiri pada subjek dan objek ayat dan predikat nama, disamping boleh menggantikan kata nama (Asmah Hj.Omar, 1986)



Binaan Frasa Nama Dalam Bahasa Melayu

Binaan frasa nama boleh terbentuk daripada satu perkataan atau lebih (Abdullah Hassan et.al, 2006).
Frasa ialah unsur terkecil dalam bidang sintaksis. Frasa digunakan bagi membina ayat. Dalam struktur binaan ayat, frasa didapati merupakan unsur yang terletak di bawah klausa. Binaan frasa dapat dibentuk daripada satu kata atau lebih. Walaupun terdapat beberapa pendapat tentang binaan frasa nama bahasa Melayu, namun perbincangan dalam topik 3 ini menjurus kepada dua struktur frasa dan binaan frasa nama.

TAJUK 2

SINTAKSIS BIDANG KAJIAN 



Tajuk ini akan membolehkan anda mengetahui perkara-perkara berikut:

 Konsep kata dan perpindahan ayat dalam Bahasa Melayu;
 Ragam ayat , jenis ayat
 Sintaksis dan aspek tatabahasa bahasa Melayu


Konsep kata dan Perpindahan Ayat

Perkataan atau kata merupakan unsur yang terdapat dalam salah satu binaan ayat.
Frasa pula boleh terbina daripada satu atau beberapa perkataan yang mengandungi kata sama ada kata nama, kata kerja,adjektif atau kata sendi nama. (Lutfi Abas ,1975).

Terdapat unsur lain seperti kata bantu atau kata penguat dalam sesuatu ayat. Sebagai contoh, terdapat ayat yang mempunyai kata adjektif seperti berikut:

(1). Abu sangat pandai bermain skuasy.
(2). Maniam itu baik sungguh.
(3). Kek lapis itu enak sekali.

Konsep perpindahan ayat pula adalah berasaskan pola ayat dasar yang jelas terdapat perbezaan urutan dalam pelbagai bahasa. Kedudukan sesuatu perkataan atau kelompok perkataan dan kebolehan berubah tempat dalam sesuatu binaan ayat juga memperlihatkan ciri perbezaan (Nik Safiah Karim et.al 2008). Perbezaan urutan dalam pelbagai bahasa serta sistem bahasa yang berbeza-beza menjadikan bahasa itu sesuatu yang unik untuk dikaji dan digunakan.


Ragam Ayat

Ayat boleh terdiri daripada pelbagai bentuk variasi mengikut pola-pola yang tertentu.
Terdapat dua jenis ragam dalam ayat. Ragam ayat terdiri daripada ayat aktif dan ayat pasif.
 Ayat aktif mengandungi kata kerja yang mengutamakan subjek asas sebagai judul.
Ayat pasif pula mengutamakan subjek terbitan sebagai judul.
Hubungan antara ayat aktif dengan ayat pasif ialah perpindahan tempat frasa nama yang menjadi subjek dan objek ayat berkaitan.

Contoh:
Amar menendang bola itu. (ayat aktif)
Bola itu ditendang oleh Amar. (ayat pasif)
Saya menendang bola itu. (ayat aktif)
Bola itu saya tendang. (ayat pasif)
Saya tendang bola itu. (ayat pasif yang mengalami pendepanan predikat)

Ayat aktif

Ayat aktif ialah ayat yang mengandungi kata kerja yang mengutamakan subjek asal sebagai unsur yang diterangkan. Ayat aktif terdiri daripada ayat aktif transitif dan ayat aktif tak transitif. Ayat aktif transitif ialah ayat yang mengandungi kata kerja transitif yang diikuti oleh frasa nama atau klausa komplemen sebagai objek atau unsur penyambut. Ayat aktif tak transitif ialah ayat yang mengandungi kata kerja yang tak transitif iaitu yang tidak diikuti oleh objek sebagai penyambut.

Ayat Pasif

Ayat pasif ialah ayat yang asalnya daripada ayat aktif transitif iaitu yang mengandungi kata kerja tetapi mengutamakan objek asal sebagai unsur yang diterangkan. Ayat pasif dalam bahasa Melayu digolongkan kepada tiga jenis iaitu:
a) Ayat pasif dengan imbuhan kata kerja pasif
b) Ayat pasif dengan kata ganti nama diri pertama dan kedua
c) Ayat pasif dengan perkataan kena yang hadir sebelum kata kerja.


Jenis Ayat

Ayat dapat dibahagikan kepada empat jenis;
i) Ayat penyata
ii) Ayat tanya
iii) Ayat perintah
iv) Ayat seruan


Ayat Penyata

Ayat yang diucapkan dengan maksud membuat satu pernyataan. Ayat penyata mempunyai tujuan menyatakan atau memberi keterangan tentang sesuatu hal. Ayat penyata juga dikenali sebagai ayat keterangan.

Contoh:
Saya sudah memiliki kereta baru.
Dunia ini penuh dengan dugaan.
Dia pandai mengawal emosinya.


Ayat Tanya

Ayat tanya ialah ayat yang digunakan untuk menanyakan sesuatu hal dengan berdasarkan nada suara dan penggunaan perkataan tertentu. Ayat tanya boleh wujud dengan kata tanya atau tanpa kata tanya.


Ayat Perintah

Ayat perintah ialah ayat yang diucapkan bertujuan untuk menimbulkan sesuatu tindakan. Perintah ditujukan kepada orang kedua dengan menggunakan kata ganti nama orang kedua seperti awak, kamu, anda, engkau dan sebagainya.


Ayat Seruan

Ayat seruan ialah ayat yang diucapkan dengan membawa nada atau intonasi seruan dengan tujuan melahirkan sesuatu keadaan perasaan seperti marah,takut,gembira,sedih dan sebagainya. Contoh kata seru ialah oh, amboi, wah, cis, aduh dan sebagainya. Menurut Abdullah Hassan (2005), ayat seruan lazimnya tidak sempurna dan menyatakan perasaan sedih, suka, gembira, duka , terkejut, marah, hairan dan lain-lain.

TAJUK 1

SINTAKSIS : BIDANG KAJIAN




SINOPSIS

Tajuk ini akan membolehkan anda mengetahui perkara-perkara yang berikut:

 Struktur binaan ayat
 Pembahagian subjek dan predikat;
 Ayat dasar dan ayat terbitan ;

 Susunan dalam ayat



Definisi Ayat (Sintaksis)

Ayat ialah unit pengucapan yang paling tinggi letaknya dalam susunan tatabahasa dan mengandungi makna yang lengkap. Ayat boleh terbentuk daripada satu perkataan atau susunan beberapa perkataan yang pengucapannya dimulakan dan diakhiri dengan kesenyapan, serta mengandungi intonasi yang sempurna (Nik Safiah Karim et.al, 2006).

Sintaksis dapat ditakrifkan sebagai bidang ilmu bahasa yang mengkaji bentuk,struktur dan binaan atau konstruksi ayat (Siti Hajar Abdul Aziz . 2008).

Konstituen : unsur bahasa iaitu 1 juzu (hubungan) daripada satuan bahasa yang lebih besar.
Contoh      : satu atau beberapa perkataan yang berfungsi sebagai satu dalam binaan ayat.

Sintesis     : Proses menyatukan pelbagai unsur, hubungan, bahan dan sebagainya menjadi satu kesatuan atau keseluruhan yang kompleks.


Struktur Binaan Subjek dan Predikat

Subjek :  Konstituen yang terdiri daripada sama ada satu perkataan atau beberapa perkataan, yang menjadi judul atau unsur yang diterangkan.

Predikat : Kumpulan perkataan yang tergolong dalam satu frasa dan menjadi unsur yang menerangkan subjek.

Contoh :
Amin (subjek) guru sekolah. (predikat)


Ayat Dasar dan Ayat Terbitan

Ayat dasar : ayat yang mengandungi satu subjek dan satu predikat. Ayat dasar juga disebut sebagai ayat inti , iaitu ayat yang menjadi sumber bagi pembentukan ayat-ayat lain (Raminah Hj.Sabran, Rahim Syam ,1987).

Ayat terbitan : ayat yang terhasil daripada proses penerbitan sesuatu ayat dengan mematuhi hukum atau rumus transformasi.

Proses penerbitan ayat berlaku sama ada secara pengguguran, penyusunan semula atau peluasan.
Contoh :

Ayat Dasar = Ayat terbitan (perluasan)

Ramzan guru (FN+FN) => Ramzan guru yang sabar.
Chong berlari (FN+FK) => Chong berlari dengan pantas.
Pak Cik membaca(FN+FK) => Pak Cik membaca surat khabar.
Kucing comel (FN+FA) => Kucing comel itu kesayangan Mama.

Tuesday 7 January 2014

PENGENALAN SINTAKSIS


       Penelitian terhadap korpus bahasa tidak lengkap jika kita tidak meneliti sintaksis. Sintaksis merupakan satu bidang kajian tentang tatacara binaan dan cara frasa, klausa dan ayat dibentuk. Bidang kajian sintaksis ini dipelopori oleh Noam Chomsky yang akhirnya melahirkan pengajian am tatabahasa transformasi generative oleh Frank Parker (1994).

      Sintaksis dapat ditakrifkan sebagai bidang ilmu bahasa yang mengkaji bentuk, struktur dan binaan ayat. Sintaksis juga merupakan kajian tentang hokum atau rumus tatabahasa yang mendasari kaedah pengggabungan dan penyusunan perkataan dan kelompok perkataan untuk membentuk ayat dalam sesuatu bahasa.

      Bidang sintaksis bukan sahaja melihat kehadiran jenis dan ragam ayat, tetapi juga rumus pembinaan unsur subjek dan predikat sebagai penentu pembentukan sesuatu ayat. Selain itu, terdapat juga ciri-ciri lain yang dipertimbangkan dalam pembinaan ayat, iaiatu penanda tatabahasa. Antara penanda tatabahasa yang sering terdapat dalam pembinaan ayat, ialah penanda kasus, penanda kala dan unsur keserasian.

       Bahasa Melayu juga tiada penanda kala atau masa seperti dalam bahasa Inggeris, iaitu yang ditandai oleh past tense. Sebaliknya, bahasa Melayu menggunakan perkataan sedang, sudah, dan akan untuk menentukan kala atau waktu sesuatu kata kerja itu dilakukan. Unsur keserasian juga penting dalam pembentukan ayat. Tanpa memperlihatkan unsur keserasian ini ayat yang dibentuk tidak akan menjadi gramatis.

       Satu lagi aspek yang termasuk dalam analisis atau persoalan sintaksis ialah ayat-ayat yang tidak menentu maknanya atau binaan yang menghasilkan ketaksaan ayat. Dalam menghasilkan ayat yang gramatis, seseorang itu perlu tahu dan mahir dalam beberapa aspek seperti mematuhi struktur binaan ayat, memahami hukum tatabahasa bahasa Melayu itu sendiri dan menyedari bahawa kegramatisan ayat itu mestilah bermakna.

Kenali Pendeta Za'aba

Za'ba (Tan Sri, 1895-1973) ialah tokoh bahasa dan pemikir Melayu. Nama sebenarnya ialah Zainal Abidin bin Ahmad. Dia lahir pada 16 September 1895 di Kampung Bukit Kerdas, Jempol, batu Kikir, Negeri Sembilan. Za'ba muncul sebagai cendekiawan Melayu yang dihormati sejak tahun 1920-an lagi. Sepanjang kerjayanya selama hampir 40 tahun, Za'ba bergiat secara aktif dalam bidang penulisan dan berbagai-bagai kegiatan sosial serta politik tanah air. Za'ba merupakan penulis rencana dan esei yang berbakat istimewa dan gigih, sama ada  dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris. Penulisannya yang begitu prolifik mencakupi bidang bahasa, sastera, agama, pendidikan, ekonomi dan politik. Beberapa buah buku penting tentang tatabahasa telah dihasilkannya yang digunakan di maktab dan institusi pengajian pada masa itu, bagi mengisi kekosongan yang wujud. Antara karyanya yang penting ialah Ilmu Bahasa Melayu (1926), Rahsia Ejaan  Jawi (1929), Pelita Mengarang, Ilmu Mengarang Melayu (1934), Daftar Ejaan Melayu: Jawi-Rumi  (1938), dan tiga jilid dalam siri Pelita bahasa Melayu(1940, 1946 dan 1949).