Tuesday 18 March 2014

TAJUK 2

SINTAKSIS BIDANG KAJIAN 



Tajuk ini akan membolehkan anda mengetahui perkara-perkara berikut:

 Konsep kata dan perpindahan ayat dalam Bahasa Melayu;
 Ragam ayat , jenis ayat
 Sintaksis dan aspek tatabahasa bahasa Melayu


Konsep kata dan Perpindahan Ayat

Perkataan atau kata merupakan unsur yang terdapat dalam salah satu binaan ayat.
Frasa pula boleh terbina daripada satu atau beberapa perkataan yang mengandungi kata sama ada kata nama, kata kerja,adjektif atau kata sendi nama. (Lutfi Abas ,1975).

Terdapat unsur lain seperti kata bantu atau kata penguat dalam sesuatu ayat. Sebagai contoh, terdapat ayat yang mempunyai kata adjektif seperti berikut:

(1). Abu sangat pandai bermain skuasy.
(2). Maniam itu baik sungguh.
(3). Kek lapis itu enak sekali.

Konsep perpindahan ayat pula adalah berasaskan pola ayat dasar yang jelas terdapat perbezaan urutan dalam pelbagai bahasa. Kedudukan sesuatu perkataan atau kelompok perkataan dan kebolehan berubah tempat dalam sesuatu binaan ayat juga memperlihatkan ciri perbezaan (Nik Safiah Karim et.al 2008). Perbezaan urutan dalam pelbagai bahasa serta sistem bahasa yang berbeza-beza menjadikan bahasa itu sesuatu yang unik untuk dikaji dan digunakan.


Ragam Ayat

Ayat boleh terdiri daripada pelbagai bentuk variasi mengikut pola-pola yang tertentu.
Terdapat dua jenis ragam dalam ayat. Ragam ayat terdiri daripada ayat aktif dan ayat pasif.
 Ayat aktif mengandungi kata kerja yang mengutamakan subjek asas sebagai judul.
Ayat pasif pula mengutamakan subjek terbitan sebagai judul.
Hubungan antara ayat aktif dengan ayat pasif ialah perpindahan tempat frasa nama yang menjadi subjek dan objek ayat berkaitan.

Contoh:
Amar menendang bola itu. (ayat aktif)
Bola itu ditendang oleh Amar. (ayat pasif)
Saya menendang bola itu. (ayat aktif)
Bola itu saya tendang. (ayat pasif)
Saya tendang bola itu. (ayat pasif yang mengalami pendepanan predikat)

Ayat aktif

Ayat aktif ialah ayat yang mengandungi kata kerja yang mengutamakan subjek asal sebagai unsur yang diterangkan. Ayat aktif terdiri daripada ayat aktif transitif dan ayat aktif tak transitif. Ayat aktif transitif ialah ayat yang mengandungi kata kerja transitif yang diikuti oleh frasa nama atau klausa komplemen sebagai objek atau unsur penyambut. Ayat aktif tak transitif ialah ayat yang mengandungi kata kerja yang tak transitif iaitu yang tidak diikuti oleh objek sebagai penyambut.

Ayat Pasif

Ayat pasif ialah ayat yang asalnya daripada ayat aktif transitif iaitu yang mengandungi kata kerja tetapi mengutamakan objek asal sebagai unsur yang diterangkan. Ayat pasif dalam bahasa Melayu digolongkan kepada tiga jenis iaitu:
a) Ayat pasif dengan imbuhan kata kerja pasif
b) Ayat pasif dengan kata ganti nama diri pertama dan kedua
c) Ayat pasif dengan perkataan kena yang hadir sebelum kata kerja.


Jenis Ayat

Ayat dapat dibahagikan kepada empat jenis;
i) Ayat penyata
ii) Ayat tanya
iii) Ayat perintah
iv) Ayat seruan


Ayat Penyata

Ayat yang diucapkan dengan maksud membuat satu pernyataan. Ayat penyata mempunyai tujuan menyatakan atau memberi keterangan tentang sesuatu hal. Ayat penyata juga dikenali sebagai ayat keterangan.

Contoh:
Saya sudah memiliki kereta baru.
Dunia ini penuh dengan dugaan.
Dia pandai mengawal emosinya.


Ayat Tanya

Ayat tanya ialah ayat yang digunakan untuk menanyakan sesuatu hal dengan berdasarkan nada suara dan penggunaan perkataan tertentu. Ayat tanya boleh wujud dengan kata tanya atau tanpa kata tanya.


Ayat Perintah

Ayat perintah ialah ayat yang diucapkan bertujuan untuk menimbulkan sesuatu tindakan. Perintah ditujukan kepada orang kedua dengan menggunakan kata ganti nama orang kedua seperti awak, kamu, anda, engkau dan sebagainya.


Ayat Seruan

Ayat seruan ialah ayat yang diucapkan dengan membawa nada atau intonasi seruan dengan tujuan melahirkan sesuatu keadaan perasaan seperti marah,takut,gembira,sedih dan sebagainya. Contoh kata seru ialah oh, amboi, wah, cis, aduh dan sebagainya. Menurut Abdullah Hassan (2005), ayat seruan lazimnya tidak sempurna dan menyatakan perasaan sedih, suka, gembira, duka , terkejut, marah, hairan dan lain-lain.

No comments:

Post a Comment