Tuesday 18 March 2014

TAJUK 4

SUSUNAN KONSTITUEN FRASA NAMA BAHASA MELAYU



Konstituen Frasa Nama dalam tatabahasa Bahasa Melayu mengandungi aspek-aspek yang telah disusun secara sistematik berdasarkan rumus-rumus tatabahasa bahasa Melayu :

 Peraturan D-M (Hukum D-M)
 Kekecualian Hukum D-M
 Bilangan dan panggilan


Peraturan D – M (Hukum D - M)

Dalam tatabahasa bahasa Melayu, D-M membawa maksud diterangkan (D) dan menerangkan (M). Dalam peraturan ini, unsur yang diterangkan merupakan unsur inti yang hadir pada kedudukan pertama dan unsur menerangkan merupakan unsur penerang yang hadir pada kedudukan yang kedua.

contoh :

D-    Askar melayu    -M
       Budak sekolah
       Pemain bola

Contoh-contoh lain:

- Kedai Makanan Rahim ( bukan Rahim Kedai Makan / Kedai Makan Rahim)
- pisang goreng (bukan goreng pisang)
- kentang goreng ( bukan goreng kentang)
- cakera padat (bukan padat cakera/compact disc)
- sup kambing ( bukan kambing sup)
- nasi goreng (bukan goreng nasi)
- sos cili (bukan cili sos)
- Restoran Ali ( bukan Ali Restoran)


Kekecualian Hukum D - M

Konsep kekecualian wujud dalam kebanyakan bahasa di dunia bagai merasionalkan penggunaan sistem bahasa yang sudah lazim dipakai secara mantap dalam masyarakat pengguna bahasa. Hal yang demikian berlaku disebabkan oleh kecenderungan pengguna bahasa menggunakan sistem bahasa lain bagi bahasa sendiri , seperti sesetengan penguna bahasa Melayu yang gemar menggunakan sistem bahasa Inggeris sebagai kayu ukur berbahasa. Lama-kelamaan, keadan itu menjadi perkara lazim dan terhasillah satu fenomena bahasa yang menyimpang dari rumus tatabahasa dalam konteks hukum D - M.
Selain itu, kekecualian hukum D - M juga wujud akibat kebiasaan dalam penggunaan, terutama sekali yang melibatkan pada nama-nama jawatan. Kebiasaan ini mewujudkan kelaziman yang semakin diterima penggunaannya dalam masyarakat pengguna bahasa.

Contoh:
Penerang (M)                                     Diterangkan (D)
Perdana                                              Menteri
Ibu                                                      Pejabat
Naib                                                    Presiden


Namun, hal ini tidak berlaku pada frasa menteri besar, menteri kanan, menteri pengangkutan, imam besar, dan seumpamanya.

Contoh penggunaan dalam ayat:
 -Perdana Menteri Malaysia yang pertama ialah YTM Tunku Abdul Rahman.
-Ibu pejabat Kastam daerah Johor Bahru dipindahkan ke Jalan Aman.
-Ketua Hakim Negara telah bercuti selama dua hari.
-Timbalan Perdana Menteri membuat lawatan kerja ke Syria.
-Jawatan Naib Presiden disandang oleh Dato Hj. Mohd.Ali.
-Naib presiden yang baharu telah berucap dalam majlis perasmian.
-Pembantu penyeldik sedang membuat penganalisisan data kajian.



Bilangan dan Panggilan

Kata bilangan yang berfungsi sebagai penerang dalam frasa nama boleh wujud di hadapan katan nama inti. (Abdullah Hassan, 2006) Dalam konteks ini, bilangan yang digunakan merujuk kepada unsur numerik yang menjadi penanda kepada jumlah yang difokuskan dalam frasa.

Contoh :
lima ekor kuda
segolongan kecil peneroka
kelima-lima pendekar silat
sekumpulan penyelidik
segelintir pengundi
sejumlah wang
sebilangan besar pekerja

Contoh ayat:

Lima ekor kuda telah dibeli oleh Haji Tahir.
Segolongan kecil peneroka sudah menanam pokok gaharu.
Kelima-lima pendekar silat itu menunjukkan gaya kepahlawanan.
Sekumpulan penyelidik sudah mendapat elaun khas.

Secara lebih khusus, kata bilangan boleh dibahagikan kepada enam kumpulan berdasarkan makna (Hashim Hj.Musa, 1993);

i. Kata bilangan tentu
ii.Kata bilangan tak tentu
iii.Kata bilangan himpunan
iv.Kata bilangan pisahan
v.Kata bilangan pecahan; dan
vi.Kata bilangan tingkatan


Kata Bilangan Tentu

Kata bilangan yang mendukung makna tentu yang menjurus kepada bilangan khusus terdiri daripada angka yang boleh dilambangkan dengan simbol atau huruf abjad.

Contoh:
satu = 1 empat = IV
dua = 2 sepuluh = X

Contoh ayat:
Konvokesyen ke-2 telah dilaksanakan pada hari semalam.
Sukan Asia ke-XIV telah mencatat satu sejarah kegemilangan atlet
Malaysia.
Dollah mendapat tempat ketiga dalam pertandingan nyanyian.



Kata Bilangan Tak Tentu

Kata bilangan yang merujuk kepada jumlah bilangan yang tidak khusus .

Contoh:
Segala, semua , banyak ,sedikit, beberapa, sekalian, sekelompok.

Contoh ayat:
Beberapa orang guru telah ditukarkan ke sekolah pedalaman.
Kegiatan gotong-royong itu disertai oleh semua penduduk kampung.
Segala bantuan yang diberikan oleh pihak sekolah amat dihargai.



Kata Bilangan Himpunan

Kata bilangan yang merujuk kepada jumlah bilangan yang terhimpun atau terkumpul.

Contoh:
berpuluh-puluh, berbelas-belas, beratus-ratus, beribu-ribu, kedua-dua, kelima-lima, kesemua.

Contoh ayat:
Berpuluh-puluh kenderaan tentera telah bergerak ke sempadan negara.
Kedua- dua peninju itu telah diberi penghargaan oleh pihak persatuan.
Kesemua mangsa banjir telah dipindahkan ke tempat yang selamat.



Kata Bilangan Pisahan

Kata bilangan jenis pisahan merujuk kepada unsur pemisahan dalam proses memerihalkan bilangan yang menjadi dasar pokok pernyataan. Kata jenis ini juga adalah sejumlah perkataan yang menyokong makna bilangan yang terasing.

Contoh:
masing-masing, setiap, tiap-tiap

Contoh ayat:
Masing-masing ada pendapat yang tersendiri dalam isu pembangunan
sukan.
Setiap hari dilalui oleh Pak Malau dengan hati yang tabah.
Tiap-tiap pasukan mempunyai ketua yang dilantik oleh pihak pengurusan.



Kata Bilangan Pecahan

Kata bilangan jenis pisahan merujuk kepada unsur pecahan atau pembahagian daripada jumlah keseluruhannya.

Contoh:
setengah, separuh, sepertiga, segelintir, sebahagian

Contoh ayat:
Setengah daripada kawasan ini adalah milik Tuan Haji Ali.
Sabar itu adalah separuh daripada iman.
Sebahagian daripada ahli-ahli persatuan tidak hadir.



Kata Bilangan Tingkatan

Kata bilangan tingkatan merujuk kepada sejumlah perkataan yang mendukung makna taraf tingkatan bilangan.

contoh:
pertama, kedua, ketiga , keseribu.

contoh ayat:
Gerai pertama menjadi perhatian pembeli.
Dia mampu meraih tempat kedua sahaja dalam pertandingan tersebut.
Pengunjung keseribu akan diberi hadiah cepu emas.



Panggilan / Kata Panggilan

Sementara itu, konsep panggilan ( kata panggilan) merupakan unsur frasa nama yang hadir sebelum kata nama inti ( Abdullah Hassan, 2008). Jenis-jenis kata panggilan seperti Tuan, Puan , Tunku, Tun, Haji, Datuk dan seumpamanya lazim digunakan sebelum kata nama inti. Kata panggilan merupakan satu sistem yang digunakan dalam bahasa Melayu bagi tujuan penghormatan, pengiktirafan ataupun penentuan identiti secara lebih khusus.

Contoh:
Datuk Maharaja Lela Profesor Ungku Aziz
Datuk Sagor Tunku Kamalia
Haji Abdul Rahman Limbong Syed Zain Barakbah
Tuan Adam Sharifah Mona Alsagoff
Puan Mastura Chong Tan Sri Malik Kama

Contoh ayat :
Datuk Maharaja Lela ialah seorang pejuang yang menentang Inggeris di
Perak.
Profesor Ungku Aziz merupakan seorang pencetus idea penubuhan tabung
pengurusan haji di Malaysia.
Datuk Sagor harus diingati sebagai seorang pahlawan.

No comments:

Post a Comment