Za'ba (Tan Sri, 1895-1973) ialah tokoh bahasa dan pemikir
Melayu. Nama sebenarnya ialah Zainal Abidin bin Ahmad. Dia lahir pada 16
September 1895 di Kampung Bukit Kerdas, Jempol, batu Kikir, Negeri Sembilan.
Za'ba muncul sebagai cendekiawan Melayu yang dihormati sejak tahun 1920-an
lagi. Sepanjang kerjayanya selama hampir 40 tahun, Za'ba bergiat secara aktif
dalam bidang penulisan dan berbagai-bagai kegiatan sosial serta politik tanah
air. Za'ba merupakan penulis rencana dan esei yang berbakat istimewa dan gigih,
sama ada dalam bahasa Melayu atau bahasa
Inggeris. Penulisannya yang begitu prolifik mencakupi bidang bahasa, sastera,
agama, pendidikan, ekonomi dan politik. Beberapa buah buku penting tentang
tatabahasa telah dihasilkannya yang digunakan di maktab dan institusi pengajian
pada masa itu, bagi mengisi kekosongan yang wujud. Antara karyanya yang penting
ialah Ilmu Bahasa Melayu (1926), Rahsia Ejaan
Jawi (1929), Pelita Mengarang, Ilmu Mengarang Melayu (1934), Daftar
Ejaan Melayu: Jawi-Rumi (1938), dan tiga
jilid dalam siri Pelita bahasa Melayu(1940, 1946 dan 1949).
No comments:
Post a Comment